Emiliza Cekal Ceburi Bidang Biotek-Herba



Industri Biotek-Herba adalah bidang yang agak baru di Malaysia namun kerajaan mensasarkan untuk menjadikan industri itu sebagai salah satu sumber utama ekomi negara di masa hadapan. Dengan meningkatnya permintaan terhadap produk berasaskan herba di pasaran domestik dan antarabangsa seiringan pula dengan berkembangnya bidang bioteknologi, industri Biotek-Herba di lihat sebagai peluang yang tidak patut dilepaskan.

Perkembangan bidang Bioteck-Herba di Malaysia telah banyak memberi manafaat dan impak yang besar dalam industri makanan, kesihatan  dan pertanian. Dengan meningkatnya pengeluaran dan permintaan terhadap produk-produk berasaskan herba, secara tidak langsung ianya dapat menambah nilai terhadap tanaman yang selama ini hanya diusahakan secara kecil-kecilan kepada pengeluaran secara besar-besaran.

Berbekalkan minat yang mendalam dalam bidang perniagaan dan melihat kepada potensi besar dalam industri ini, Emiliza Yahya memberanikan diri untuk menceburi bidang tersebut. Dengan menggunakan modal sendiri dan bantuan dari keluarga, beliau telah berjaya menghasilkan produk sulung keluaran syarikat milik beliau iaitu kopi pracampuran herba Young café. Kopi ini mengandungi  empat jenis herba terpilih iaitu Pegaga, Halia, Ubi Jaga dan Tongkat Ali yang diproses menggunakan proses bioteknologi.

Emiliza Yahya

“Kopi herba Young café ini di rumus khas untuk meningkatkan taraf kesihatan, mengembalikan kecergasan mental dan fizikal selain sebagai anti-oksidan yang bertindak mengekalkan awet muda. Ianya difomulasikan khas untuk kebaikan semua peringkat umur dan jantina”terangya.

Walaupun beliau tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang perniagaan mahupun bidang bioteknologi, beliau yakin dengan semangat, sokongan dan juga bimbingan dari keluarga, beliau mampu membawa Young Café ke peringkat yang lebih jauh.

“Bidang Biotek-Herba adalah satu bidang yang saya akui agak asing bagi saya. Saya hanya mengetahui sedikit sebanyak maklumat tentang bidang ini dari pembacaan di majalah, internet dan juga surat khabar. Namun alhamdulillah, adik lelaki saya yang sedang menuntut di tahun akhir dalam bidang Kejuruteraan Bioteknologi di UIA banyak membantu dan memberi bimbingan kepada saya. Ahli keluarga lain juga sentiasa memberi sokongan dan bantuan untuk saya menceburi bidang perniagaan berasaskan Biotek-herba ini.”

Menurut beliau, produk Young café ini dikilangkan oleh TPM Biotech Sdn Bhd iaitu anak syarikat penuh milik Technology Park Malaysia (TPM) Corporation Sdn Bhd, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.


Kilang TPM Biotech di Raub


“Saya diperkenalkan dengan pihak TPM Biotech oleh adik saya yang mana beliau pernah menjalani Latihan Amali Industri di situ sedikit masa dahulu. Setelah beberapa siri perbincangan di adakan, saya telah menandatangani kontrak perjanjian dengan pihak TPM Biotech untuk mereka membuat kajian seterusnya mengilangkan produk kopi herba dengan jenama Young café untuk syarikat Emirly Enterprise milik saya dan bapa,”ujarnya lagi.

Menurut beliau lagi, proses penghasilan kopi herba ini menggunakan peralatan-peralatan yang moden dan terkini disamping sistem piawaian yang sangat ketat. Kilang milik TPM Biotech yang berstatus GMP dan mempunyai sijil Halal  ini sentiasa menitik beratkan kualiti dan kebersihan produk yang dihasilkan.

Ibu kepada dua cahaya mata yang telah kehilangan suami tercinta akibat barah usus ini ingin membuktikan bahawa usahawan wanita juga mampu bersaing dengan usahawan lelaki.



Bersama Duta Young Cafe, Noorkhiriah


“Untuk berjaya dan memastikan kita sentiasa dihadapan, kita perlu berani untuk meneroka sesuatu yang baru disamping menitik beratkan kualiti serta kepuasan penguna. Usahawan terutamanya bumiputera perlu peka dengan perkembangan teknologi semasa bagi memastikan kita mendapat manafaat darinya”.

Harapan beliau agar lebih ramai usahawan bumiputera berani menceburi industri Biotek-Herba memandangkan peluang yang amat cerah untk berjaya disamping sokongan padu yang diberikan oleh kerajaan.                            



Keratan Asal: Berita Harian, 19 Mac 2008







0 comment:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Free Samples By Mail